Nor

JOHOR BAHRU – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Mohd Norazam Osman akan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang baharu.

Norazam yang dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pertukaran dan pelantikan itu.

“Ya saya mengesahkan pertukaran saya dan perlantikan itu.

“Semalam kira-kira pukul 3.30 petang saya terima surat pertukaran daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang  memaklumkan perkara itu.

“Ahad ini Insya Allah saya akan masuk pejabat, bagaimanapun pagi itu saya akan terlebih dahulu mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ,”katanya.

Kedudukan Noorazam di KPRJ difahamkan akan digantikan oleh Pengarah Urusan PIJ Holdings, Datuk Ramlee A. Rahman.

Terdahulu media melaporkan seorang Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Pegawai kanan kerajaan berusia 60 tahun itu didapati menerima wang rasuah daripada kontraktor  bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Cawangan Kluang dalam kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya telah menahan seorang orang awam yang bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar MBJB bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi projek-projek yang dikeluarkan oleh pihak MBJB dalam tahun 2020 dan 2021.

Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,jika sqbit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.- MalaysiaGazette