Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Cawangan Kluang telah menahan seorang orang awam yang bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah bertindak sebagai orang tengah kepada datuk bandar itu bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi projek-projek yang dikeluarkan oleh MBJB antara tahun 2020 dan 2021.

Suspek merupakan seorang pesara lelaki berusia 60 tahun.

Dia telah ditahan kira-kira jam 9 malam semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru.- MalaysiaGazette