Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto HAFIZ SOHAIMI, 31 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar, berhubung insiden tembakan di Unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Kuching, semalam yang mengorbankan empat anggota TUDM.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit yang terlibat, sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris semua perajurit negara yang terkorban dalam insiden tembakan tersebut.

“ATM telah menyampaikan sumbangan kebajikan sewajarnya kepada waris mangsa. Semoga semua rakyat Malaysia dapat bersama berdoa dan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam kejadian semalam, empat anggota TUDM terkorban iaitu Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat, Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kpl U Ho Swee Boon dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli. – Bernama