KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mampu bertahan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, permainan politik dengan mengkhianati Pakatan Harapan menerusi ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari 2020 akhirnya memakan diri.

“Muhyiddin perlu segara undur demi kesuburan demokrasi dan kesejahteraan rakyat negara ini yang bukan sahaja berdepan krisis kesihatan malah, kekusutan ekonomi dan sosial.

“Segala-galanya terbukti palsu apabila buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang perdana menteri terpaksa menabur ‘sogokan’ kepada pembangkang secara terbuka agar terus menerima sokongan sekaligus mengekalkan kuasanya,” dakwanya dalam kenyataan media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mendakwa, Muhyddin juga telah membohongi Yang di-Pertuan Agong dan rakyat dengan mendakwan mempunyai sokongan majoriti selain memberi alasan akan membuktikannya pada sidang Parlimen September ini.

“Keengganan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai perdana menteri bukan sahaja bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang mana beliau wajib mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat tetapi secara jelas mencabar kuasa Ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pengumuman itu secara terbuka mendakwa blok pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti telah melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, adakah Muhyiddin sanggup menentang Yang di-Pertuan Agong hanya demi mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri?,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara PN dengan parti di luar kerajaan jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Ia bertujuan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen. – MalaysiaGazette.