KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berikutan kemalangan di Jalan Mahameru dari arah Jalan Duta ke arah Jalan Semantan, Kuala Lumpur.
Kemalangan berkenaan mengakibatkan seorang pekerja pembaikan jalan maut manakala dua rakannya cedera.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan pada 4.30 pagi tadi berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton dari arah Jalan Duta melanggar papan amaran yang diletakkan di belakang lori.
Kenderaan itu kemudiannya melanggar papan amaran yang diletakkan di bahagian belakang lori ke kawasan penurapan jalan seterusnya melanggar mesin stroller dan terkena ketiga-tiga pekerja.
“Akibat dari pelanggaran tersebut mesin stroller telah terpelanting dan terkena kepada mangsa dan dua lagi rakan sekerjanya,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya lagi, salah seorang pekerja pembaikan jalan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mengalami cedera dan telah dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Sarifudin berkata, lelaki yang diburu itu bernama Kesavan A/L Gunaseelan dan alamat terakhirnya B – 12 – 08 AC – 4 Blok B 11, Jalan Taman Sri Sentosa , 58000 Kuala Lumpur.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Ejaron di talian 011-37455332 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette