Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap pada sidang media berkenaan Himpunan #Lawan Lagi yang dianjurkan Sekretariat Solidariti Rakyat dijangka dibuat pada 21/08/21 menuntut Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin meletakan jawatan di Pejabat Mr. Kipidap (MK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membantah himpunan #Lawan yang dijangka dianjurkan sekali lagi pada 21 Ogos ini.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakan mengajak rakyat berhimpun ketika musim pandemik Covid-19 merupakan langkah yang tidak wajar.

Menurut Abdul Rani, satu laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam berhubung bantahan terhadap perhimpunan haram yang bakal dianjurkan di Dataran Merdeka itu.

“Mereka kumpulan baju hitam itu dijangka berkumpul selagi lagi pada 21 Ogos ini bagi menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

“Ini merupakan tindakan yang tidak wajar dan kami bantah sekeras-kerasnya. Keadaan masa ini tidak sesuai kerana jangkitan Covid-19 semakin meningkat sehingga mencecah 21,000 kes sehari. Jadi pihak-pihak berkenaan jangan ambil kesempatan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Abdul Rani turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan terbabit.

Tambahnya, tindakan berhimpun beramai-ramai ketika kadar jangkitan semakin tinggi hanya mengeruhkan keadaan.

“Kami gesa PDRM ambil tindakan sekiranya mereka ini degil, sila pantau supaya himpunan ini dapat dihentikan kerana kita tidak mahu penularan Covid-19 jadi semakin teruk.

“Sekiranya hendak buat demonstrasi, tunggu lah selepas habis Covid-19 tetapi ketika ini gunakan lah akal fikiran dengan memikirkan soal keselamatan dan kesihatan,” ujarnya.

Terdahulu, PDRM menyifatkan rancangan untuk mengadakan satu perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedia maklum rancangan untuk mengadakan perhimpunan tersebut dan meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan SOP.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rani berkata, pihaknya turut menghantar satu memorandum khas kepada pejabat parti-parti politik pada Khamis.

Jelas Abdul Rani, memorandum itu dihantar kepada Parti Amanah Negara, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), UMNO, Parti Keadilan Rakyat serta Parti Pejuang Tanah Air bertujuan memohon kesemua ahli-ahli politik di negara ini untuk berhenti melakukan perebutan kuasa.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada parti politik pada Khamis dalam sidang media di Pejabat Mr. Kipidap (MK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2021.

“Kita sebagai rakyat berharap, kesemua ahli politik ini berhenti berebut kuasa kerana ketika ini bukan lah masa yang sesuai.

“Rakyat perhati semua tindak-tanduk anda, jadi berhenti lah daripada terus mengkucar-kacirkan keadaan.

“Apa yang penting bersatu hati lah dan fikirkan situasi dan nasib rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette