Dr. Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Bangi, Dr Ong Kian Ming akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menolak tawaran penubuhan kerajaan bipartisan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Dalam ciapan di laman Twitter, beliau mengucapkan terima kasih ke atas semua pandangan serta komen terhadap kenyataannya supaya parti-parti politik duduk berbincang mengenai tawaran kerjasama rentas parti bagi membolehkan kerajaan bipartisan dibentuk.

”Majlis Presiden telah mengeluarkan kenyataan untuk menolak tawaran rundingan oleh PM Muhyiddin Yassin dan saya akur dengan pendirian parti saya,” katanya.

Terdahulu wakil rakyat DAP itu berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengusulkan beberapa reformasi institusi yang dapat kekal dalam politik Malaysia jika diluluskan.

Artikel berkaitan:

Malam tadi, Majlis Presiden PH dalam kenyataan menegaskan pendirian menolak segala tawaran yang disifatkan sebagai tidak ikhlas.

Kenyataan yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu menyebut tawaran kerjasama itu sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik perdana menteri.

— MalaysiaGazette