Muhyiddin akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi esok.

ESOK, Isnin 16 Ogos 2021 adalah tarikh dan hari yang mendebarkan bagi seluruh lapisan masyarakat, rakyat jelata dan pemimpin parti-parti politik Malaysia.

Tanda tanya adakah benar Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempersembahkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya bakal diketahui sebelum jam 12 tengah hari, esok.

Pelbagai andaian dan persepsi bermain di media sosial termasuk di media-media arus perdana dengan desas-desus peletakan jawatan oleh Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiddin.

Ianya bermula dengan perutusan khas Perdana Menteri pada petang Jumaat lalu, yang menjelaskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaan untuk meluluskan usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat pada 7 September ini.

Ketetapan itu, kata Muhyiddin, dibuat selepas tidak ada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu.

Kenyataan ini secara tidak langsung telah memakan dirinya, apabila secara secara terang-terangan di hadapan jutaan rakyat yang dipancarkan secara langsung menerusi televisyen, beliau telah mengaku Kerajaan PN tidak mempunyai majoriti.

Selepas itu, serangan datang bertubi-tubi. Majoriti dari desakan itu ialah meminta beliau meletakkan jawatan dengan alasan Kerajaan PN tidak lagi mempunyai majoriti.

Berikutan itu, pelbagai perjumpaan diadakan bagi membincangkan situasi berkenaan sehingga kemuncaknya petang semalam, media menerima makluman atas angin, kononnya Muhyiddin akan meletakkan jawatan, tetapi Isnin ini.

Tidak diketahui sama ada perutusan khas itu menjadi penyebab kepada kedudukan Muhyiddin yang ibarat telur di hujung tanduk ketika ini, atau memang beliau telah merancang untuk melepaskan jawatan itu lebih awal sebelum ini.

Namun, beberapa laporan polis telah dibuat individu tertentu kerana beranggapan keseluruhan perutusan khas yang disampaikan Muhyiddin itu bersifat rasuah secara nyata, rasuah secara terbuka.

Beberapa menteri PN telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaan itu.

Kita serahkan kepada polis untuk meneliti laporan yang dibuat.

Sekarang ini, yang perlu difikirkan ialah sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan, siapa bakal penggantinya?

Ini terletak pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk melantik Perdana Menteri kesembilan atau Perdana Menteri Interim.

Pada pandangan penulis, seeloknya dilantik Perdana Menteri Interim, kerana tidak akan ada campur tangan dari mana-mana parti politik soal cukup majoriti atau tidak cukup majoriti.

Gua Musang MP Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) PIX: NOOREEZA HASHIM / MalaysiaGazette / 04 NOVEMBER 2019. independent bloc Dewan Rakyat Parliament
Tengku Razaleigh atau Ku Li disebut-sebut layak mengganti tempat Muhyiddin.

Perdana Menteri Interim lebih berperanan sebagai orang tengah yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada UMNO, Bersatu, PKR, DAP, Amanah, Pas mahupun Warisan.

Beliau berhak membentuk Kabinetnya sendiri dan melantik sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk menerajui negara yang kini dalam keadaan kritikal akibat pandemik Covid-19.

Tempoh Perdana Menteri Interim ini sebolehnya berfungsi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, tidak kira pada Julai tahun depan atau April 2023.

Keistimewaan Perdana Menteri Interim ini tidak terikat dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Ia terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dengan cara ini sahaja, pentadbiran kerajaan baharu dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan suara-suara yang mendakwa cukup nombor dan sebagainya.

Tetapi, siapakah bakal Perdana Menteri Interim? Tengku Razaleigh Hamzah? Datuk Seri Najib Tun Razak? Datuk Seri Anwar Ibrahim? Atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Anwar setakat ini mendapat sokongan dari parti Pakatan Harapan sebagai Perdana Menteri.

Nama-nama ini hanya boleh dicalonkan, untuk menentukan siapa terletak pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Siapa sahaja yang dilantik, semua pihak kena akur.

Tambahan pula Perdana Menteri Interim bukan bersifat kekal. Ia sebagai pihak yang boleh mententeramkan keadaan dan suhu politik yang semakin panas.

Muhyiddin hanya sempat memegang jawatan Perdana Menteri kelapan selama 18 bulan 14 hari, jika benar-benar beliau meletakkan jawatannya esok.

Sepatutnya, tempoh beliau berakhir sehingga tamat penggal PRU14 iaitu pada April 2023, tetapi disebabkan beberapa kelemahan yang berlaku sepanjang pentadbirannya, beliau juga kena akur dengan tempoh yang pendek itu.

Sehingga artikel ini ditulis, pihak-pihak yang mewakili parti politik masih sibuk mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan masing-masing.

Bersatu mengadakan perjumpaan pagi tadi, PKR dikatakan malam ini, manakala Pas akan bermesyuarat pagi esok. UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, DAP, Amanah belum ada berita lagi mengenainya.

Mengikut laporan beberapa portal politik, Muhyiddin dikatakan telah membuat keputusan akan meletakkan jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok. Sumbernya dikatakan dari Ahli Majlis Tertinggi Bersatu sendiri.

Itu yang menyebabkan semua parti terlibat mula berkumpul untuk menentukan keputusan dan hala tuju parti masing-masing.

Setakat ini, Pas, UMNO yang menyokong PN, MCA, MIC dan parti dari Sabah telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, manakala PKR, DAP dan Amanah mahu mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

UMNO pimpinan Ahmad Zahid masih menyepi daripada menyenaraikan nama calon Perdana Menteri. Namun, Tengku Razaleigh tentu menjadi pilihan utamanya, selain Najib.

Pencalonan atau pemilihan Ku Li boleh meredakan keadaan, kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai musuh, baik dari parti PKR, DAP, Amanah mahupun UMNO sendiri.

Tetapi, beliau juga tidak terlepas dari serangan pihak-pihak tertentu yang barang kali tidak puas hati dengan kemelut yang berlaku sehingga Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan dan kerajaan PN terbubar.

Apapun, peranan ini terletak pada Yang di-Pertuan Agong. Umpama seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. – MalaysiaGazette