MPV jenis Toyota Avanza yang dipandu mangsa remuk teruk akibat rempuh konkrit Plaza Tol Kubang Semang di sini, hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya dipercayai terbabas lalu merempuh tembok konkrit di laluan ‘Touch N Go’ Plaza Tol Kubang Semang arah Butterworth di sini, hari ini.

Kejadian jam 12.50 tengah hari itu menyebabkan lelaki berusia 30-an yang memandu MPV jenis Toyota Avanza itu maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Mangsa dilaporkan tersepit dalam kenderaannya.

MalaysiaGazette difahamkan, kenderaan mangsa remuk teruk, selain mayatnya ditemui dalam keadaan tersepit antara pintu pemandu dan bumbung MPV tersebut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Mohd Badli Abd Manaf berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.02 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak bomba dapati sebuah kenderaan telah melanggar rumah tol dan seorang lelaki tersepit di dalamnya.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di pintu pemandu.

“Kita gunakan peralatan khas untuk operasi mengeluarkan mangsa tersepit itu dan selepas 30 minit, dia berjaya keluarkan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.51 petang. – MalaysiaGazette