Tukang jahit wanita hasilkan baju Patriotik sempena bulan Kemerdekaan.

GEORGE TOWN – Situasi pandemik Covid-19 ketika bulan Kemerdekaan tidak menjadi penghalang buat tukang jahit untuk meraih pendapatan lumayan dengan menghasilkan busana daripada bendera Malaysia serta warna Jalur Gemilang itu.

Buat pengusaha butik Anggerik Rimba Alteration, kemelut pandemik yang membelenggu negara hampir dua tahun itu dijadikan sebagai cabaran dalam memastikan tukang jahit masih mampu meraih pendapatan walaupun kedai jahitan pakaian tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

Mahani Udit,32, berkata, setiap tahun dia pasti menerima tempahan baju patriotik daripada pelanggan tetap serta mereka yang singgah di butiknya.

Namun disebabkan pandemik, pendapatannya merosot tahun lalu.

Mahani.Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu berkata, selepas setahun dibelenggu kehilangan pendapatan akibat Covid-19, dia mula bangkit dengan mempelajari cara-cara mendapatkan tempahan serta menjual pakaian di media sosial.

Kata Mahani, jualan secara online itu membuahkan hasil apabila mula menerima tempahan baju patriotik.

“Setiap tahun saya sudah biasa terima tempahan daripada tadika, sekolah serta beberapa agensi yang terlibat dalam pertandingan baju Patriotik serta perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, namun akibat Covid-19 saya kehilangan pendapatan lebih 70 peratus.

Antara hasil jahitan Mahani yang ditempah orang ramai.

“Tahun lalu saya buntu memikirkan cara untuk memastikan pendapatan saya khususnya pada Bulan Kemerdekaan kerana sebelum pandemik Civid-19 saya terima tempahan kira-kira 4,000 baju Patriotik.

“Susulan itu, tahun ini bagi saya mengambil langkah mendapatkan tempatan secara online dan lakukan jahitan di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bayan Baru di sini, hari ini.

Baju Jalur Gemilang yang dijahit Mahani dijual dengan harga RM70 hingga RM250 sepasang mengikut saiz dan corak baju.

Antara koleksi pakaian dijual adalah baju Melayu; baju kurung; cheongsam; sari yang melambangkan kepelbagaian kaum dalam negara.

Mengulas lanjut, Mahani berkata, tahun ini, dia mendapat tempahan 1,500 pasang baju patriotik dan perlu disiapkan dalam tempoh Ogos dan September.

Mahani mampu menyiapkan dua hingga tiga pasang baju dalam tempoh sejam.

Katanya, tempahan baju itu dibuka menerusi laman Facebook peribadinya sejak awal Jun lalu dan tempahan diterima dari seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini, semua tempahan saya buat seorang diri di rumah dan dalam tempoh sejam saya mampu siapkan dua hingga tiga pasang baju.

“Malah, saya perlu membahagikan masa dengan betul ekoran perlu menguruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dua kembar saya berusia 10 tahun serta mengajar kelas jahitan online dengan para pelajar kolej.

“Selain itu, setiap pakaian akan dijahit mengikut kreativiti saya dan pakaian yang dihasilkan mestilah memenuhi kepuasan saya sebagai tukang jahit serta seolah-olah ia akan diperagakan oleh anak saya sendiri,” ujar anak kelahiran Sungai Petani, Kedah.

Mahani turut menerima tempahan telekung, baju kurung, baju Melayu, kemeja serta lain-lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast