Seorang wanita mengalami luka di paha akibat ditikam dalam cubaan meragut beg oleh penjenayah.

GOMBAK – Seorang wanita tempatan apabila melalui detik cemas apabila ditikam di bahagian peha kanan dalam kejadian cubaan samun semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan 10 Taman Greenwood, Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, semasa kejadian pada jam 4.24 petang itu mangsa sedang memandu kereta milik abangnya.

Katanya, abang mangsa mengatakan mangsa menghubunginya dengan memaklumkan dia didatangi seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta untuk meragut begnya.

“Mangsa tidak mampu memberi gambaran jelas mengenai lokasi kejadian sebenar kerana ditikam di pahanya dengan pisau dan masih trauma.

“Wanita itu juga tidak dapat mengecam muka suspek dan kenderaan yang digunakan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang oleh pihak ambulans dan kini masih berada di zon merah namun keadaannya dilaporkan stabil.

Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya.

Orang awam yang mempunyai maklumat  mengenai kejadian ini boleh menyalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03-61262222.- MalaysiaGazette