ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras 1,650 mata menjelang akhir tahun ini, didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh selain kemasukan semula beberapa aliran dana asing ke rantau ini.

Ketua Penyelidik, Kenny Yee berkata, penilaian positif tersebut berserta aktiviti-aktiviti memperelok akaun, akan melonjakkan minat pelabur ketika bursa tempatan menyaksikan prestasi suram baru-baru ini akibat perkembangan politik dan penularan Covid-19.

“Berdasarkan penilaian semasa kami, (pasaran ekuiti) Malaysia adalah yang paling murah serta menawarkan diskaun yang ketara dalam kalangan pasaran ASEAN.

“Oleh itu, kami menjangkakan beberapa aliran masuk dana ke rantau ASEAN yang disebabkan oleh penilaian dan tindakan para pelabur menyusun semula portfolio masing-masing,” katanya pada sesi taklimat media mengenai Prospek Pasaran Bagi Suku Ketiga 2021 di sini, pada Isnin.

Yee juga menjangkakan bahawa sentimen terhadap pasaran tempatan akan semakin stabil susulan langkah kerajaan baru-baru ini untuk membenarkan pembukaan beberapa aktiviti perniagaan bagi meningkatkan sentimen terhadap pasaran ekuiti.

Pada 2020, aliran keluar dana asing Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM24 bilion manakala bagi tahun ke tahun aliran tersebut berjumlah RM5.9 bilion (US$1.4 bilion).

Malah, keadaan itu tidak hanya terhad kepada Malaysia berikutan semua pasaran serantau mengalami aliran keluar dana asing dalam jumlah yang besar — Thailand (US$8.3 bilion pada 2020; tahun ke tahun US$3.4 bilion), Indonesia (US$3.2 bilion; US$1.3 bilion); Filipina (US$2.5 bilion; US$1.7 bilion) manakala Vietnam (US$876 juta; US$1.3 bilion).

“Oleh itu, berdasarkan keadaan dan senario semasa, saya tidak menjangkakan terdapat sebarang kecenderungan penurunan seterusnya terhadap pasaran (sehingga akhir tahun),” katanya.

Mengulas ringgit, Yee berkata mata wang tempatan itu berkemungkinan diniagakan sekitar RM4.10/4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat menjelang akhir tahun ini.

“Kami mengunjurkan ringgit akan mengukuh berbanding dolar dalam persekitaran pemulihan harga minyak mentah serta kemasukan semula aliran dana asing itu,” katanya.

Pada masa ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global diniagakan pada paras US$70 setong iaitu menokok US$5 berbanding akhir Mei lepas manakala bagi tempoh sama, harga minyak sawit mentah kekal pada RM4,500 satu tan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast