Thomas Trucha. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Pemburuan bagi mengukuhkan tempat ketiga Liga Super bukan menjadi matlamat utama Penang FC yang sebaliknya mahu meneruskan rentak kemenangan apabila bertandang ke Stadium Darul Aman esok bi berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Menghormati kekuatan tuan rumah yang pasti mahu bangkit selepas tewas 2-4 kepada Selangor pada Jumaat lalu, ketua jurulatihnya, Tomas Trucha hanya memberikan tumpuan kepada persiapan sendiri tanpa memikirkan mengenai lawan.

Ditambah kehilangan tiga pemain utama iaitu Ryuji Utomo, Khairu Azrin Khazali dan Casagrande yang tidak dapat diturunkan, pengendali yang berasal dari Republik Czech itu tidak berselindung perancangan mereka banyak terjejas.

“Saya belum memikirkan dari segi itu bagi mendapatkan tempat ketiga jika kita menang dengan Kedah kerana banyak kali saya jelaskan kami hanya berikan tumpuan dari satu ke satu perlawanan.

“Buat masa ini saya rasakan pemain-pemain telah melakukan tugas dengan cemerlang walaupun perlawanan sebelum itu kami tewas 1-4 dengqn Selangor namun mereka bangkit untuk menang 2-1 semasa berdepan Melaka.

“Secara keseluruhan sepanjang musim ini, saya rasa kami telah buktikan banyak perkara dan harap kami mampu meneruskan rentak cemerlang ini sehingga penghujung musim.

“Saya tidak nafikan pasukan serba sedikit terganggu tanpa tiga pemain utama kerana penggantungan perlawanan, tetapi saya optimis pemain yang gantikan tempat mereka masih boleh membantu kemenangan pasukan.

“Situasi David Rowley juga masih saya pantau selepas tidak bermain dengan Melaka dan semuanya bergantung kepada situasi latihan terakhir yang kita akan jalani bagi menentukan sama ada dia boleh diturunkan,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Ketiadaan Utomo di bahagian pertahanan dijangka akan digalas Abdul Latiff Suhaimi manakala David Rowley atau Fadhil Idris berpeluang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi mengisi posisi Khairu Azrin.

Sementara itu di posisi serangan, penjaring gol kemenangan Penang semasa berdepan Melaka, Sheriddin Boboev hampir pasti menjadi taruhan utama Trucha selain dibantu Endrick Dos Santos.

Penang FC yang kini berada di tangga ketiga berpeluang menjarakkan kedudukan dari Selangor dengan perbezaan lima mata jika mampu mengatasi Kedah selain merapati kedudukan Terengganu FC di tangga kedua melalui jurang tiga mata.

Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa buat Penang yang merupakan pendatang baharu Liga Super selepas muncul juara Liga Premier pada musim lalu.

Selepas berdepan Kedah, Penang akan terbang ke Kota Kinabalu bagi pertemuan dengan Sabah pada Ahad ini di Stadium Likas. – MalaysiaGazette