KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya pada pagi ini untuk mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya.
Kenderaan Vellfire beliau meninggalkan Bukit Damansara, di sini, pada jam 7.42 pagi.
Perdana Menteri yang kelihatan tenang melemparkan senyuman dan melambai ke arah pengamal media yang berkampung seawal jam 6.30 pagi untuk membuat liputan semasa mengenai perkembangan politik negara.
Sebelum ini Muhyiddin dikatakan hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri berikutan dakwaan beliau kehilangan majoriti di Parlimen.
Pada 3 Ogos lalu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media mengisytiharkan partinya menarik balik sokongan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri.
Semalam, Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammad Redzuan Yusof berkata, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan mengemukakan surat perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kepada YDPA. – MalaysiaGazette