Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada Bangunan Putra Perdana menuju ke Istana Negara untuk mengadap Yang Dipertuan Agong, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR- “Pengunduran adalah atas tanggung jawab bersama bukan atas rasa bersalah”, demikian kenyataan yang dibuat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ciapan di Twitternya hari ini.

Hantaran itu dipercayai merujuk kepada tindakan barisan Kabinet yang mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

“Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat.#StaySafeAndFocus,” katanya lagi.

Selain Ahli Parlimen Kota Bharu itu, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussien turut membuat hantaran serupa.

“Ianya adalah satu penghormatan dan keistimewaan yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat kepada negara tercinta dan rakyatnya.

“Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mengesahkan barisan Kabinet Perikatan Nasional telah melepaskan jawatan masing-masing dengan mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.- MalaysiaGazette