Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam api di sebuah gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan, Bukit Mertajam.

BUKIT MERTAJAM – Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengambil masa kira-kira lapan jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran sebuah gudang menyimpan peralatan elektrik dan elektronik di Jalan Rozhan di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, bangunan dua tingkat dengan keluasan 2,000 meter persegi itu terdiri daripada tiga bahagian iaitu kawasan gudang seluas 836 meter persegi; pejabat (836 meter persegi) dan tempat memuat barang (334 meter persegi).

Bahagian gudang itu musnah sepenuhnya akibat kebakaran tersebut.

“Bahagian gudang musnah sepenuhnya manakala 30 peratus ruang pejabat dan tempat muatan barang terbakar akibat kejadian tersebut.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.15 malam dan operasi tamat sepenuhnya termasuk memastikan kawasan itu selamat pada jam 5.27 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan manakala pasukan Unit Pengesan (K9) turut digunakan bagi membantu siasatan.

Operasi tamat sepenuhnya kira-kira lapan jam kemudian.

Operasi tersebut melibatkan kira-kira 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Bandar Perda dan beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran. – MalaysiaGazette