Gambar hiasan.
Gambar hiasan

SEMALAM adalah hari dalam sejarah bagi Malaysia apabila kepimpinan negara berundur secara terhormat apabila YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin telah memenuhi tuntutan
Perlembagaan Malaysia dengan mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri serta semua Kepimpinan Jemaah  Menteri di bawah Perikatan Nasional. Kerajaan yang bermula dengan menghadapi tanggungjawab pandemik Covid-19 pada Mac 2020 dan selepas hampir 17 bulan masih terus berhadapan dengan krisis kesihatan global ini telah pun jatuh apabila keabsahan sebagai kerajaan Memerintah telah kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen. Lebih memeritkan lagi, tiga senario yang berlaku ini terus menjerat kehidupan rakyat Malaysia yang semakin rumit untuk meneruskan kehidupan mendatang.

Situasi politik negara yang berkali kali ini mencabar kedudukan kerajaan PN sebagai
pemerintah bukan pertama kali diganggu gugat, malah semasa kerajaan 17 bulan ini
berjaya mengekang penularan covid pada pertengahan tahun 2020 juga turut menagih perubahan lanskap politik tanahair.

Bagi rakyat yang saban hari membaca statistik kes jangkitan covid 19 sejak lebih setahun lalu amat bimbang dan mereka memerlukan strategi dan jalan keluar oleh kerajaan. Namun strategi KKM juga dikatakan gagal apabila orang ramai mula mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak bersifat "total lock down" dan peningkatan kes di lokaliti kawasan industri semakin memuncak.

Jelas disini dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih belum nampak
penghujungnya, kekuatan Kerajaan amatlah perlu kerana setiap strategi ke arah
pencegahan dan pemulihan memerlukan kata putus khususnya melibatkan kapasiti
sumber manusia dan kewangan.

Apabila lanskap politik ingin diubah, pastinya ketika inilah ramai antara kita bukan
sahaja wakil rakyat tetapi penyelidik media sosial mula mendaulatkan Perlembagaan
untuk mencari kelompongan dalam memastikan kejatuhan sesebuah parti pemerintah. Tanda pagar lawan, kerajaan gagal mula dilaungkan ketika rakyat terus mengharapkan pemulihan negara secara total dilaksanakan.

Tidak nampak dimanakah pemberatnya antara keabsahan kerajaan, tuntutan Perlembagaan dan krisis kesihatan apabila ketiga-tiga ini turut menjadi faktor menyumbang kepada kegagalan dalam strategi.

Akhirnya, payung negara menjadi kuasa terakhir untuk menentukan keabsahan
sokongan Kerajaan, Raja-Raja Melayu yang memegang Perlembagaan tertinggi ini
juga lah yang diuji dengan surat-surat sokongan dan menarik sokongan. Seolah-olah
ianya dijadikan pentas pihak tertentu untuk mencuba nasib dalam mendapatkan
kuasa eksekutif melalui legislatif yang berfokus.

Amat memeritkan lagi apabila rakyat terus terhimpit dengan muakan politik yang
tidak berkesudahan dalam sejarah perjalanan yang panjang. Semua akui bahawa
politik itu kuasa, tapi adakah kita masih bertindak rasional apabila berlaku
perubahan kerajaan, kes akan terus menurun, dan kematian dapat dikurangkan jika
niat asal adalah untuk melemahkan kerajaan memerintah.

Memang mudah untuk membuat sifir sokongan ahli dewan rakyat seperti rujukan
Perlembagaan dalam menentukan keabsahan pemerintah, namun adakah sifir yang
mudah itu boleh membantu statistik kes jangkitan covid 19 yang kini di fasa akhir
imuniti vaksin berkelompok? Mungkin data sains kesihatan dan data peperangan
politik (political war) tidak mempunyai korelasi yang tepat.

Menjunjung Titah SPB YDPA tidak boleh mengangkat satu perkara sahaja kerana
setiap kali krisis politik negara berlaku, Baginda kekal memberi fokus kesihatan dan
Kesejahteraan rakyat perlu diutamakan pada masa ini sehingga selesai.

Mujurlah dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub bahawa Kakitangan Kerajaan
boleh meneruskan tugasan harian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat walaupun tanpa Menteri Kabinet kerana ianya jelas di bawah kuasa eksekutif
di mana sebarang perubahan kerajaan tidak akan memberi kesan untuk terus
berkhidmat demi agama, bangsa dan negara yang dinaungi oleh Ketua Negara Raja
Berperlembagaan.

Justeru itu, antara keabsahan kerajaan, tuntutan Perlembagaan dan Krisis
Kesihatan, di manakah keutamaan kita sebagai rakyat Malaysia dalam negara terus
mematuhi SOP Kesihatan dan memulihkan ekonomi negara.

Oleh:
Raja Shah Erman Raja Arifin
Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) UniMAP
merangkap
Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)