KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta agar sentiasa meletakkan maqasid syariah sebagai kerangka utama dalam membuat sebarang pertimbangan dan keputusan demi memastikan kehidupan masyarakat awam kekal selamat dan stabil.
Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, suasana kemelut politik yang melanda negara hari ini telah menyaksikan bahawa ahli politik yang ada telah gagal dalam memainkan peranan mereka secara profesional dan meletakkan kepentingan parti dan diri masing-masing lebih utama dari kepentingan rakyat dan negara.
”Sehubungan dengan itu, ISMA dengan penuh rasa bertanggungjawab dan rendah diri ingin memohon Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasanya untuk membentuk satu pemerintahan kerajaan pemulihan yang dapat menguruskan isu-isu kritikal yang sedang dihadapi oleh negara hari ini.
“Satu pentadbiran kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi, mengekalkan keselamatan dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataa di sini.
Katanya, cadangan kerajaan pemulihan ini hendaklah dibentuk di luar daripada pengaruh parti-parti politik.
Menurutnya, satu formula yang bersifat luar kotak perlu dirangka dengan melibatkan mereka yang berkepakaran mengambil alih kepimpinan negara kini yang tidak melibatkan orang politik.
Tambah beliau, tumpuan utama kerajaan pemulihan ini perlulah terarah kepada pemulihan ekonomi negara, mengatasi krisis kesihatan, membentuk hala tuju politik baharu dan menyelesaikan masalah tekanan hidup rakyat.
Bagi tujuan memastikan kestabilan politik dikembalikan semula, Parlimen hendaklah digantung sementara bagi memberi ruang kerajaan pemulihan yang baharu ini menumpukan kepada agenda pemulihan negara .
Pada masa sama, ISMA juga menggesa masyarakat awam supaya tampil memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemulihan yang bakal dibentuk. – MalaysiaGazette