Beh Eng Lai di Ibu pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Dua wanita yang dikenali Geng Merry menyamar sebagai pegawai dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum menyamun warga emas akhirnya ditumpaskan polis.

Mereka berlakon sebagai wakil NGO yang menawarkan bantuan kebajikan namun di sebaliknya ada niat jahat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pada 9 Ogos lalu, polis menerima laporan polis berkaitan kejadian mencuri dalam kediaman seorang wanita warga emas berusia 82 tahun.

Kejadian berlaku di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri yang menyebabkan mangsa kerugian RM8,000.

“Hasil siasatan mendapti modus operandi sindiket Geng Merry berkenaan didalangi dua wanita warga tempatan yang bertindak menyamar sebagai anggota NGO kebajikan yang datang untuk menyerahkan bantuan.

“Semasa urusan sumbangan dilakukan, salah seorang suspek menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mangsa untuk mencuri barang dan sindiket berkenaan menyasarkan golongan warga emas yang tinggal bersendirian.

“Susulan kejadian itu dan bertindak atas laporan polis, pada 14 Ogos lalu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat IPD Sentul berjaya menahan dua wanita tempatan berumur 23 dan 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan kita berjaya merampas sebanyak 17 bungkusan makanan pelbagai jenis dan jenama, empat buah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, tambah beliau, polis turut menahan seorang lagi wanita tempata berusia 23 tahun hari ini disyaki bersubahat dalam insiden yang sama.

Ujarnya, ketiga-tiga tangkapan itu menerusi soal siasat lanjut polis mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

“Suspek utama berusia 43 tahun itu mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau manakala seorang lagi rakan sejenayah yang ditahan bersama adalah menantunya dan mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah termasuk kes pecah rumah dan curi dalam bangunan.

“Ketiga-tiga suspek kini direman di IPD Sentul untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Susulan dari operasi yang dijalankan ini pihak polis Sentul telah berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian dalam bangunan yang dilaporkan di sekitar kawasan jinjang pada tahun ini.- MalaysiaGazette