Kebakaran tebal yang melanda Beit Meir, Israel. foto Flash90 בית מאיר אש חם חום שורש כבאים

BAITULMAQDIS – Israel terpaksa meminta bantuan antarabangsa untuk membantunya mengawal dan memadam kebakaran hutan di barat Baitulmaqdis.

Rayuan itu dibuat Menteri Luarnya, Yair Lapid dalam ciapan di Twitter.

Greece antara negara awal yang memberi maklum balas untuk membantu Tel Aviv manakala Itali dan Perancis masih tidak memberi jawapan.

Kebakaran berterusan yang memasuki hari kedua telah memaksa rejim Zionis mengarah lima perkampungan berhampiran berpindah.

Kebakaran besar menyebabkan kawasan kota suci itu diselubungi asap dan pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Nasional, Dedi Simchi, memberitahu wartawan bahawa hampir 2,400 hektar kawasan terbakar sejak dua hari lalu.

Selain lebih 100 anggota bomba dikerah untuk mengawal api, dua buah pesawat digunakan untuk memadam kebakaran.

Selain Israel, beberapa negara lain di Mediterranean dan Afrika Utara turut terjejas akibat kebakaran hutan, antaranya Algeria, Cyprus, Greece, Turki dan Itali. – Agensi