Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir ke Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermesyuarat malam ini bagi menentukan calon pilihan parti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

Mesyuarat bermula pukul 8.30 malam dengan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, mesyuarat diadakan berikutan titah  Yang di-Pertuan Agong terhadap kesemua ketua parti di Istana Negara hari ini supaya mencari kesepakatan dalam memastikan calon perdana menteri mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Antara ahli MT yang dilihat telah berada di bangunan Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) iaitu Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Abdul Rauf Yusoh, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Fathul Bari, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Khaidiriah @Dira Abu Zahar.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, UMNO akan memanggil ahli-ahli MT untuk bermesyuarat sekiranya ketua-ketua parti dipanggil untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk bertemu dengan pemimpin kanan parti-parti politik di Istana Negara hari ini.

Antara pemimpin yang dilihat memasuki perkarangan Istana Negara selain Ahmad Zahid, ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Parti Pejuang Tanah Air Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Difahamkan pertemuan itu berlangsung selama dua jam sebelum para pemimpin politik berkenaan dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara sekitar pukul 4 petang.

Semalam, Al-Sultan Abdullah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik  Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sebelum calon Perdana Menteri baharu dilantik semula.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Ahmad Zahid membuat pengumuman itu pada sidang media khas pada 3 Ogos lalu. – MalaysiaGazette