Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2021

KUALA LUMPUR – Seperti biasa, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir 15 minit lebih awal sebelum bermulanya prosiding dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sepatutnya perbicaraan kes ini bersambung pada 7 Julai namun terpaksa ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Hari ini, prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bermula sedikit lewat sekitar 11.30 namun pasukan pendakwaan dan pembelaan sudah tiba seawal 10.30 pagi tadi lagi.

Beberapa penyokong yang sekadar menunggu di luar perkarangan lobi berikutan garis panduan serta SOP ketat, hanya yang berkenaan sahaja dibenarkan masuk termasuklah pengamal media yang sebelum ini perlu memohon pas khas untuk mengikuti prosiding secara video link di bilik-bilik khas.

Kes itu ditetapkan untuk sambung bicara sejak 29 Jun lalu, namun ditangguhkan.

Kali terakhir perbicaraan kes 1MDB didengar pada 27 Mei lalu.

Seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, apabila perbicaraan bersambung.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding dijangka bermula pada bila-bila masa ketika ini. -MalaysiaGazette