Chow Kon Yeow (empat dari kiri) ketika meninjau PPV RiVAC di Gurney Paragon di sini, hari ini. - Gambar FB CKY

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pulau Pinang tidak terganggu walaupun tompok pimpinan Kerajaan Pusat berubah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yoew berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan program PICK buat rakyat di negeri itu tercapai.

Jelas beliau, kenyataan yang diberikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Zuki Ali amat jelas, yang mana perkhidmatan awam tidak terjejas dan mereka akan teruskan perkhidmatan melalui pimpinan KSU bagi setiap kementerian.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan bermesyuarat hari ini walaupun Jemaah Menteri sudah meletakkan jawatan semalam, sekali gus menunjukkan perkhidmatan dalam kerajaan masih berjalan walaupun berlaku perubahan dalam pimpinan kerajaan ketika ini.

Chow Kon Yeow.

“Bagi menangani pandemik Covid-19 kita perlu memastikan negara berjaya mencapai imuniti kelompok dalam tempoh yang disasarkan.

“Selain itu, kita juga berharap pergolakan politik yang sedang berlaku ini tidak menjejaskan PICK,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Gurney Paragon di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, dua pusat pemberian vaksin (PPV) khas bagi RiVAC iaitu di Gurney Paragon fan Design Village Mall, Batu Kawan dibuka di negeri ini bagi mempercepatkan lagi program imunisasi Covid-19.

“PPV Gurney Paragon dibuka sejak semalam dengan kapasiti harian yang disasarkan adalah 1,200 dos sehari dan akan berlangsung selama lima hari sehingga 20 Ogos ini.

Kon Yeow menyantuni salah seorang penerima vaksin di Gurney Paragon hari ini. – Gambar FB CKY

“Bagi PPV Design Village Mall, ia akan beroperasi mulai esok sehingga 22 Ogos ini dengan kuota yang diberikan adalah sebanyak 4,000 dos atau 800 dos suntikan sehari,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan kekurangan bekalan vaksin di beberapa PPV di negeri ini adalah bersifat sementara dan akan kembali normal dalam masa terdekat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menyusun semula supaya isu kekurangan bekalan vaksin tidak mendatangkan impak terlalu ketara.

“Kita percaya pihak JKNPP akan melakukan penjadualan semula agar PPV boleh beroperasi secara optimum,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette