KUALA LUMPUR – Selepas peletakan jawatan Menteri Kabinet dan timbalannya sejak semalam, pelbagai video dan poster dikeluarkan sebagai penghargaan kepada khidmat bakti mereka sepanjang setahun lebih menjawat jawatan masing-masing.
Salah satu yang menjadi perhatian netizen adalah poster ‘terima kasih’ kepada bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal.
Poster penghargaan yang dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara itu mencuri perhatian sehingga menjadi bualan ramai.
Ada netizen yang kurang senang melihat wajah Ketua Armada Bersatu itu yang berada paling hadapan dengan wajah besar dan paling menonjol berbanding atlet-atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia.
Malah ada juga yang mempertikaikan apa sumbangan Wan Ahmad Fayhsal sepanjang berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Namun menerusi laman sosialnya, beliau mengucapkan selamat maju jaya buat wirawan dan srikandi KBS dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
Wan Fayshal turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala kerjasama, sumbangan dan pengorbanan semua. – MalaysiaGazette