KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) kini tawar menawar dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Tawaran itu diberikan Ketua Wiranya, Datuk Mohd Azis Jamman sekiranya Presiden PKR itu mempunyai nombor mencukupi untuk mencapai angka majoriti dengan sokongan mereka.
Namun, katanya, jika Anwar tidak mempunyai jumlah majoriti, PH mesti mencalonkan pula Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri baharu.
“Warisan tidak ada masalah untuk menyokong Anwar sekiranya dengan sokongan ini dapat memberi keputusan majoriti kepadanya.
“Tetapi, sekiranya dengan sokongan ini, Anwar tidak mendapat majoriti, semua ahli Parlimen PH mesti mencalonkan Mohd Shafie pula sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Secara umum, blok pembangkang kini dikatakan mempunyai 105 undi termasuk daripada parti Warisan.
Dengan jumlah itu bermakna Anwar memerlukan sekurang-kurangnya tujuh undi lagi daripada mana-mana ahli Parlimen untuk melepasi angka 111 undi daripada 220 ahli Dewan Rakyat.
Anwar dan Mohd Shafie bagaimanapun perlu bertemu untuk membincangkan sokongan yang diperoleh masing-masing, sebelum nama mereka dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kata Aziz, sesiapa yang mendapat sokongan tertinggi harus diberi peluang menulis nama mereka di akuan sumpah (SD).
Berdasarkan senarai ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, Warisan memiliki lapan ahli Parlimen manakala empat ahli Parlimen Pejuang.
Warisan mempunyai lapan ahli Parlimen yang mana angka kecil ini mampu mengubah sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu. – MalaysiaGazette