Kehadirian sembilan adiwira tarik perhatian orang awam di PPV mega Spice Arena di sini, hari ini.

BAYAN LEPAS – Gelagat lapan adiwira meneman ‘Predator’ mendapatkan suntikan kedua dos vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega Setia Spice Arena di sini hari ini, menarik perhatian orang ramai.

Selain meneman rakan, masing-masing mereka yang mengenakan kostum karakter Captain Amerika; Ultraman 7; Kamer Rider; Batman; Black Panther; Hulk serta dua Predator itu tampil bagi menyokong kempen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Walaupun kedatangan mereka mendapat perhatian penerima vaksin yang lain, namun semuanya berlangsung di bawah pemantauan pihak berkuasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Azhar mengenakan kostum Predator mengimbas suhu sebelum memasuki kawasan PPV.

Menurut Azhar A Rahman,64, rancangan awal hanya dia seorang akan mengenakan kostum Predator untuk mendapatkan dos kedua vaksin AstraZeneca selepas suntikan pertama diterima pada 16 Jun lalu.

“Namun, saya tidak menyangka adiwira lain di Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk tampil sama meraikan sebaik mengetahui saya akan lengkapkan penerimaan vaksin hari ini.

“Saya hadir awal sejam ke PPV ini dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memakai kostum Predator.

“Tujuan saya mengenakan kostum Predator adalah sebagai gimik menarik orang ramai menerima vaksin, sekali gus menjayakan kempen vaksinasi yang diusahakan kerajaan bagi memastikan negara bebas daripada wabak Covid-19,” jelas pesara kerajaan itu.

Azhar lengkap menerima dua vaksin di PPV mega Spice Arena di sini, hari ini.

Tambah Azhar, dia mula bergiat aktif dalam kumpulan adiwira sejak Perintah Pergerakan Kawalan tahun lalu.

MalaysiaGazette difahamkan, ini merupakan kali pertama adiwira dalam jumlah yang ramai  beraksi serentak di PPV negara ini bagi menyokong program vaksinasi.

Orang ramai mengambil peluang merakamkan gambar bersama adiwira.

Sementara itu, Mohamad Syukur Mohd Patthi,26, berkata, ini merupakan kali pertama dia mengenakan kostum Hulk selepas hampir setahun membuat tempahan.

“Ikutkan kostum ini ambil sedikit masa lagi untuk siap, tapi saya minta orang yang menyediakan kostum percepatkan supaya boleh dipakai hari ini.

“Agak sukar sedikit untuk saya bergerak memandangkan hari pertama mengenakannya tambahan pula berat kostum itu hampir 10 kilogram.

Ini merupakan kali Mohamad Syukur mengenakan kostum Hulk.

“Saya miliki pelbagai kostum adiwira tetapi saya pilih Hulk hari ini kerana ia unik selain mampu mencuri perhatian penerima vaksin lain,” kata Mohamad Syukur. – MalaysiaGazette