Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa selepas Mesyuarat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kenderaan membawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dilihat keluar dari kediaman peribadi Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini selepas sejam mengadakan pertemuan.

Berselang dua minit kemudian, kenderaan jenis Toyota Vellfire yang membawa bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut dilihat meninggalkan kediaman perdana menteri sementara itu pada pukul 2.55 petang.

Terdahulu, kedua-dua kenderaan yang membawa bekas menteri Kabinet itu masuk ke kediaman Muhyiddin sejak tengah hari tadi.

Dipercayai pertemuan bekas Perdana Menteri itu bersama Hamzah dan Annuar berkait rapat dengan pencalonan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Ke-9.

Sementara itu, beberapa media turut melaporkan Muhyiddin akan mengumumkan pendirian Perikatan Nasional berhubung calon perdana menteri baharu pada petang ini. – MalaysiaGazette