Mila Jirin.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin bersyukur dengan bantuan Program Subsidi Upah (PSU) yang bukan sahaja menyelamatkan syarikatnya malah ratusan ribu syarikat sejak penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Pemilik Bizmilla Catering itu berkata, PSU boleh dipohon majikan bagi mendapat subsidi upah yang dibayar mengikut kriteria ditetapkan, iaitu jumlah pekerja yang layak.

Jelasnya, PSU kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu telah memberi manfaat kepada jutaan pekerja dan bukan hanya kepada pekerja Bizmilla Catering sahaja.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima menerusi PSU. Bantuan ini bukan diterima oleh saya sahaja malalah ratusan ribu majikan lain yang juga menerima manfaat sama untuk menampung upah pekerja.

“Berdasarkan pengetahuan saya, PSU telah memberi memanfaatkan kepada jutaan pekerja termasuk para pekerja di Bizmilla di mana subsidi upah dibayar mengikut jumlah pekerja yang layak,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mila tampil membuat penjelasan berdasarkan kekeliruan videonya baru-baru ini.

Penyanyi lagu Persis Mutiara itu sedih kerana dia lemparkan pelbagai fitnah oleh netizen, sekali gus menjejaskan reputasi beliau sebagai usahawan.

Sementara itu, kerajaan meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM1.215 bilion di bawah PSU 2.0 setakat 4 Jun lalu.

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia disalurkan kepada 74,075 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 645,522 pekerja.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memperkenalkan PSU semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP) yang antara lain menyediakan bantuan bagi majikan tanpa mensyaratkan kehilangan hasil bagi syarikat kecil.

Kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu majikan dan pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang masih terjejas yang dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

Ciri-ciri utama program ini ialah subsidi upah diberi kepada majikan yang masih terjejas, iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu. – MalaysiaGazette