Barang rampasan yang dibuat oleh IPD Kuala Langat selepas menumpaskan ahli sindikeyt Geng Deva yang aktif melakukan lebih 20 kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Telok Panglima Garang.foto ihsan Polis IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh lelaki disyaki ahli kumpulan Geng Dewa kerana disyaki memecah masuk rumah seorang pegawai kanan pasukan keselamatan itu di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Telok Panglima Garang dan Ibupejabat Polis Kuala Langat telah menangkap seorang lelaki di Taman Telok Panglima Garang.

“Dengan dipandukan maklumat suspek, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan seramai enam orang lagi suspek warga tempatan di taman yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil soal siasat ke atas suspek membawa polis ke lokasi penyimpanan barang-barang hasil pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang.

Menurut Ahmad Ridhwan, antara barang kes yang dirampas adalah sebuah kenderaan curi jenis Proton Wira, alat–alat pecah rumah, dua unit pemampat udara, peralatan tukang, dua utas jam tangan dan sepasang uniform pegawai kanan polis.

Ujar beliau, kesemua suspek berumur awal 20-an mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kabel Telekom Malaysia Berhad, kes samun dan penyalahgunaan dadah.

“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Dengan tertangkapnya saspek tersebut, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 20 kes pecah rumah, kedai dan kecurian kabel di kawasan Kuala Langat.

“Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok Banting mulai hari ini dan kesemua suspek kini direman selama tiga hari di lokap Balai Polis Banting.

“Polis sedang menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette