Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap selepas rombongan ahli parlimen Barisan Nasional menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi mengesahkan SD sokongan kepada calon Perdana Menteri baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini hanyalah untuk mengesahkan akuan bersumpah (SD) semua 114 ahli Parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setiap ahli Parlimen yang hadir hanya diberikan dua minit untuk berjumpa dengan Yang di-Pertuan.

“Tidak ada (bincang) tentang Kabinet hanya khusus mengenai pengesahan SD terhadap Ismail Sabri, tiada hal lain.

“Kita sudah serah SD dan kami tidak bawa SD itu dan kami hanya mengesahkan dihadapan YDPA seorang demi seorang,” katanya kepada pengamal media ketika keluar dari pintu 2, Istana Negara.

Kesemua 114 Ahli Parlimen daripada UMNO, Pas, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), STAR, MCA, MIC dan 3 Ahli Parlimen bebas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 3.30 petang tadi.

Kesemua mereka dilihat memasuki Istana Negara dengan menaiki lima buah bas.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kesemua 114 Ahli Parlimen itu menyokong Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri kesembilan Malaysia.

Ia setelah Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat.

“Pada hari ini 114 MP yang memberikan sokongan SD kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob MP Bera sebagai calon PM telah di temuduga secara ringkas seorang demi seorang oleh YDPA.

“Didalam pertemuan ringkas itu setiap MP tentunya menyatakan nama dan daripada kawasan mana kemudian menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri tanpa paksaan dan dengan sukarela,” katanya lagi. – MalaysiaGazette