KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia berharap Perdana Menteri kesembilan yang akan membentuk kerajaan baharu dalam waktu terdekat ini terus fokus menangani pandemik Covid-19 demi rakyat dan negara.
Exconya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, cukup-cukuplah dengan pandemik politik dan gila kuasa yang tidak pernah ada vaksinnya ini.
Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda PPUM menjelaskan, krisis politk mutakhir ini amat membimbangkan terutama apabila parti politik dilihat membawa haluan masing-masing.
“Ini jelas berlaku apabila sebahagian Ahli Parlimen bertindak menarik sokongan terhadap Perdana Menteri kelapan sehingga ada yang sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan.
“Paling membimbangkan apabila melihat parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO terbahagi kepada dua blok, pro kerajaan dan anti kerajaan.
“Kerisauan ini munasabah kerana tiada parti lain yang mampu menggantikan UMNO seandainya krisis ini tidak dihentikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, kata beliau, dalam kemelut yang tidak berkesudahan itu, tidak menjangka akan wujud suatu jumlah majoriti melebihi 112 dalam menamakan Perdana Menteri kesembilan sebagaimana titah Yang d-iPertuan Agong.
Ini ternyata apabila difahamkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan GPS.
“Jumlah ini membuktikan parti politik masih boleh bekerjasama sebagai satu pasukan sebagaimana mula-mula penubuhan kerajaan baharu selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) hampir dua tahun lalu.
“Seandainya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu, ianya adalah kesinambungan yang baik dan selayaknya mengikut hierarki memandangkan beliau adalah Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Jika begitu, tidak sesuai hal ini dinamakan krisis politik. Tiada bezanya proses ini dengan amalan biasa kerajaan selama ini iaitu Timbalan Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri yang meletakkan jawatan,” katanya.
Beliau memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam peranan terbaiknya menjalankan fungsi baginda sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette