Kenderaan Proton Preve bercermin gelap dipercayai Pegawai Penyiasat dari D11 Bukit Aman memasuki kawasan perumahan elit tempat tinggal pendakwah terkenal Ebit Lew di Setia Alam, Shan Alam petang tadi.

SHAH ALAM – Kira-kira dua jam selepas Ebit Lew memberi keterangan di Ibupejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengannya, kediaman pendakwah itu ‘dikunjungi’ sepasukan anggota penyiasat di Setia Alam.

Beberapa kenderaan dipercayai milik polis telah memasuki kawasan kediamannya petang tadi.

Tiga buah kenderaan Proton Preve telah dilihat memasuki kawasan kediaman Anjung Sari di Setia Alam di sini sekitar pukul 4.15 petang tadi.

Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai lambang badan kebajikan milik pendakwah tersebut turut memasuki kawasan perumahan yang sama.

Kehadiran kenderaan polis itu dipercayai untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang sedang dikendalikan oleh Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

ARTIKEL BERKAITAN: Fitnah ini amat kejam namun saya reda dan maafkan – Ebit Lew 

Siasatan ke atas Ebit Lew akan diteruskan hingga polis puas hati 

Pendakwah terkenal hadir ke Bukit Aman 

Pendakwah terkenal ke Bukit Aman rakam keterangan 

Ketiga-tiga kenderaan Proton Preve bercermin gelap milik polis itu kemudian dilihat meninggalkan kawasan perumahan tempat tinggal Ebit Liew sekitar pukul 5.13 petang.

Terdahulu, pada jam 9 pagi tadi, Ebit bersama peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam percakapan sebagai membantu siasatan kes yang sama.

Ebit yang berjubah biru dan berkopiah putih telah memberikan kerjasama penuh semasa rakaman percakapannya selama sejam setengah sebelum keluar dari Bukit Aman kira-kira pukul 2 petang.

Kemudian dengan wajah penuh tenang dan senyuman, Ebit menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai fitnah yang kejam dan melampau.

“Saya memaafkan sesiapa sahaja yang melemparkan fitnah ini dan menyerahkan kepada polis sepenuhnya untuk menyiasat perkara itu.

“Namun saya akan terus menghulurkan bantuan sehingga mati,” katanya kepada wartawan sebelum meninggalkan Bukit Aman menaiki kereta pacuan empat roda Toyota Hilux.

Sementara peguamnya, menjelaskan, setakat ini pihak polis telah menyatakan menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis belum menyatakan secara spesifik seksyen yang digunapakai dalam siasatan kes berkenaan.-MalaysiaGazette