Ebit Lew.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah selesai mengmbil keterangan percakapan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang dihadapinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kes berkenaan itu disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kita telah merakam percakapan daripadanya selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Siasatan ke atas Ebit Lew akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati.

“Kemudian kita akan merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan petang hari ini.

Beliau mengulas kes Ebit Lew yang dipanggil pagi tadi untuk dirakam keterangan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) JSJ Bukit Aman yang mengendalikan kes ini.

Artikel berkaitan:

Sementara itu, Abd Jalil memohon kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes ini dapat disiasat dengan telus.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang penyebaran apa apa jua bahan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya lagi.

Terdahulu Ebit Lew ditemani peguamnya Datuk Hasnal Rezua Merican telah hadir ke Ibu Pejabat Polis itu di Bukit Aman jam 8.59 pagi tadi.

Beliau kemudian dibawa untuk proses merakam percakapannya oleh polis D11 yang disahkan berlangsung selama sejam 30 minit.

Pendakwah yang aktif dengan kerja-kerja kemanusiaan itu kemudian meninggalkan bangunan PDRM itu tepat jam 2.10 petang menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bersama peguamnya.

Sebelum itu Ebit Lew sempat bercakap selama tujuh minit kepada media tempatan yang berkumpul melaporkan perkembangan itu sejak 5 jam lalu.

Semalam Abd Jalil mengeshakan pendakwah terkenal itu dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang dihadapinya. – MalaysiaGazette