nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) meminta Kementerian Sumber Manusia menjelaskan undang undang yang sedia ada khususnya untuk pekerja yang menolak vaksin.

Ini kerana, dakwanya, masih ramai pekerja tidak tahu atau masih tidak yakin dengan program vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan.

Sekretariatnya dalam kenyataan di sini berkata, NUFAM telah dimaklum ada beberapa syarikat penerbangan telah memecat pekerja mereka atas sebab-sebab isu ini.

Dakwanya, secara terang-terangan syarikat ini telah juga mengambil kesempatan untuk membuang pekerja, sedangkan ada di antara mereka ini masih menunggu dan melihat keberkesanan vaksin.

Selain itu, ada indivdiu terbabit yang bimbang untuk mengambil vaksin atas sebab-sebab kesihatan mereka.

”Pekerja ini mungkin risau dan bimbang kerana ada antara mereka tidak memahami isu Covid-19 dan masih tidak begitu yakin dengan kaedah vaksin tersebut.

“Antara persoalannya ialah jika mereka mati selepas divaksin kerana ada kes berkenaan wujud,” kata NUFAM.

Sewajarnya, syarikat penerbangan berkenaan memberi khidmat kaunseling dan juga keyakinan kepada pekerja mereka.

Dan, bukannya pecat pekerja yang masih tidak pasti untuk mengambil vaksin.

”Kenapa perlu pecat terus kalau pekerja ini bimbang atas sebab nyawa dan kesihatan diri mereka? Memang ada yang masih risau, jadi tanggungjawab kita adalah memberi mereka keyakinan dan panduan lebih berhubung vaksin ini,” ujarnya.

NUFAM berpendapat syarikat yang membuang pekerja ini terus tanpa sebab kukuh ini bersikap kuku besi terhadap pekerja mereka.

Ini kerana, ada cara lain yang boleh dilakukan selain dari membuang mereka.

”Undang mana yang syarikat ini pakai? Mereka harus memperjelaskan kepada pihak umum.

Malah, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan ada menyebut bahawa vaksinasi ini adalah bukan secara paksaan.

“Jadi mengapa syarikat perlu ambil tindakan terhadap mereka yang menolak vaksin,” soal NUFAM.

Lantaran itu, NUFAM memohon pihak Jabatan Buruh Kementerian Sumber Manusia menyiasat isu ini agar pekerja-pekerja ini dapat bimbingan bukan dianiayai terus oleh majikan mereka.

Pihak Kementerian Sumber Manusia harus mengeluarkan kenyataan kerana mungkin ramai pekerja akan dibuang kerja dan ada yang mungkin ambil tindakan untuk bunuh diri jika mereka tidak ada jalan lain.

”Kami juga menyarankan agar tindakan drastik sebegini tidak diambil oleh mana mana syarikat terhadap pekerja mereka.

”Ramai sedang hidup susah, janganlah sewenang-wenang hendak membuang pekerja semasa negara dan rakyat berdepan dengan krisis hidup dan ekonomi.

”Ia juga tidak adil kepada mereka kerana undang-undang kita masih belum lagi diperbetulkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast