Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat pulang meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan pemilihan calon Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perbincangan Khas Raja- Raja Melayu bagi memilih pengganti Perdana Menteri yang baharu berakhir kira-kira pukul 4 petang tadi.

Kenderaan yang membawa Raja-Raja Melayu dilihat berangkat keluar dari Pekarangan Istana Negara pukul 4.22 petang bermula dengan Sultah Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ia kemudiannya diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang berangkat pulang pukul 4.25 petang.

Turut berangkat meninggalkan Istana Negara selepas itu, Pemangku Raja Muda Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah tiga minit kemudian.

Kenderaan yang membawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat pulang meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan pemilihan calon Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2021.

Terakhir kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dilihat keluar sejurus selepas itu.

Terdahulu, perbincangan khas tersebut bermula pukul 3 petang sebelum berakhir sejam kemudian. Tumpuan seluruh negara hari ini terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja.

Ia bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu dan kerajaan, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perbincangan itu adalah yang ketiga berlangsung di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari 2019 dengan yang pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Difahamkan perbincangan itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast