KUALA LUMPUR – Pas, UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung yang telah memperkenankan pelantikan itu.
“Pas mendoakan agar Ismail Sabri sentiasa dikurniakan taufik dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.
“Saya menyeru semua pemimpin dan rakyat menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri kesembilan dan proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, jam 2.30 petang di lstana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik.
Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan Twitternya mengucapkan tahniah atas pelantikan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri.
Katanya, beliau percaya di bawah kepimpinan Ismai Sabri, negara boleh dipulihkan dan dipacu ke aras yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat.
“Semoga semua pihak bersatu hati untuk memberikan yang terbaik buat Malaysia,” katanya menerusi Twitternya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengucapkan Syabas kepada Ismail Sabri yang menang dalam pemilihan jawatan nombor satu negara.
“Tahniah juga kepada calon yang mencuba, sentiasa kukuh dan tenang.
“Kuasa Raja Berperlembagaan kita junjung, kitaran kegagalan kita yang tanggung, sama-samalah kita harungi. Covid-19 tetap diperangi,” katanya yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Barisan kepimpinan Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPNS) juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memberikan impak lebih positif terhadap pembangunan dan kestabilan negara dalam menangani krisis Covid-19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.
“Selamat berkhidmat YAB Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. Kami mendoakan agar Datuk Seri sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT dan sentiasa diberikan kekuatan untuk memimpin negara dengan sebaik-baiknya,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette