Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin bertemu dengan ketua-ketua parti politik, Selasa lalu. foto Istana Negara

KUALA LUMPUR – Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah menerima mengadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama pada Selasa lalu.

Majlis itu turut disertai Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah atas kapasiti Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir pada sesi menghadap ini, Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara, menurut hantaran di Facebook Istana Negara.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap secara maya ketua-ketua dan wakil-wakil komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diadakan sebelum sesi menghadap ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama ini.

Sesi-sesi menghadap ini adalah lanjutan daripada peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu. – MalaysiaGazette