Jagdeep Singh Deo.

TELUK KUMBAR – Kira-kira 12,000 peniaga dan penjaja Pulau Pinang akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 30 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, program vaksinasi yang akan berlangsung selama empat hari itu membabitkan lima daerah di negeri tersebut.

Antara lokasi yang dicadangkan adalah Dewan Dato Haji Ahmad Badawi, Butterworth; Kompleks Sukan Jalan Betek, Bukit Mertajam; Stadium Batu Kawan, Batu Kawan; Stadium Bandaraya, George Town serta Dewan Perda, Teluk Kumbar.

Jelas beliau, sebanyak sepuluh buah bas yang diubahsuai khas akan digunakan untuk membantu melicinkan proses suntikan vaksin Covid-19 itu dengan agihan dua buah bas bagi setiap lokasi.

“Program ini akan berlangsung mulai 30 Ogos hingga 2 September ini. Kapasiti bilangan penjaja dan peniaga yang dijangka akan divaksin adalah antara 500 hingga 600 orang sehari di setiap lokasi.

“Secara keseluruhannya, seramai 10,000 hingga 12,000 orang penjaja dan peniaga dijangka akan divaksin dalam tempoh empat hari program itu berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Pasar Teluk Kumbar  hari ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, program itu secara tidak langsung akan memberikan keyakinan dan keselamatan kepada penjaja dan peniaga untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka sekali gus menjana pendapatan.

“Pelaksanaan program ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan Pulau Pinang untuk mencapai imuniti berkelompok di negeri ini,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep menegaskan sebanyak 16 pasar awam dan kompleks makanan di sekitar negeri ini ditutup ekoran kes jangkitan Covid-19. – MalaysiaGazette