Dua pekerja pembersihan warga India terhidu gas, jatuh maut dalam lubang pembentungan Indah Water di hadapan kilang perindustrian minyak masak di Cyberjaya Dengkil dalam kejadian 1.57 tengahari tadi.Foto Ihsan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya..

KUALA LUMPUR – Dua pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan maut apabila terjatuh ke dalam lubang pembentungan di Dengkil hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, kedua-dua lelaki dikenalpasti sebagai warganegara India ditemui maut  di dalam lubang pembentungan tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.57 tengahari tadi.

Semasa kejadian,MERS999 Pusat Kawalan Cyberjaya telah menerima makluman ada orang terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang terletak di hadapan kilang Lam Soon Pinggiran Cyber Dengkil.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Dengkil yang bergegas ke lokasi kejadian dan mengeluarkan dua mayat yang di dalam pembetungan itu.

“Mayat yang pertama dikeluarkan pukul 4 petang manakala mayat yang kedua dikeluarkan satu jam selepas itu. Hasil siasatan dan temubual dengan majikan, mangsa merupakan warga India yang sedang membuat kerja-kerja pembersihan pembentungan Indah Water.

“Semasa membuat pembersihan, mereka terjatuh ke dalam pembentungan tersebut disyaki telah terhidu gas yang terdapat di dalam pembentung (sewer) tersebut sejurus selepas dibuka untuk kerja pembersihannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedalaman pembentung tersebut dianggarkan lebih kurang tinggi 20 kaki dan kedalaman air lebih kurang tujuh kaki.

Kedua-dua mayat telah dapat dikeluarkan oleh bomba dan telah dibawa ke Forensik Hospital Serdang untuk ujian awal Covid-19 seterusnya dibedah siasat untuk mendapatkan punca kematian lebih terperinci.-MalaysiaGazette