KUALA LUMPUR – Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin dingatkan supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya mereka leka, segala kerja keras yang dicapai di negara ini akan disia-siakan.
“Jika rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, berkemungkinan negara ini akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus Covid-19
“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada populasi di negara ini belum divaksin.
“Mereka ini mudah terkena jangkitan Covid-19. Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Pada Khamis lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap diperluaskan dengan antaranya aktiviti ‘dine in’ dibenarkan di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan beliau selaku Perdana Menteri cakertaker.
Katanya, Sidang Khas MKN itu membincang dan mempertimbangkan cadangan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal MKN untuk memperluaskan lagi kemudahan sektor sosial dan ekonomi terutamanya bagi Fasa 1 PPN.
Menurut Dr. Noor Hisham, bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap, perlu ada disiplin yang tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan.
“Sekiranya anda disahkan positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat kepada kes positif, pastikan menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.
“Insya-Allah, kita berusaha dan tawakkal. Allah SWT Maha Penyayang dan Melindungi kita,” katanya. – MalaysiaGazette