Jurutera sebuah jabatan dibawa anggota SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk mendapatkan perintah tahan reman hari ini.

SHAH ALAM – Seorang lagi jurutera sebuah jabatan kerajaan yang ditahan semalam dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini untuk mendapatkan perintah tahan reman.

Jurutera berusia 40 tahun itu dibawa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 9 pagi tadi untuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah bersama lima yang lain daripada kontraktor.

Majistret Raden Farah Shirazee Ahmadi kemudian mengenakan tahanan remah selama lima hari bermula hari ini hingga 25 Ogos ini ke atas jurutera berkenaan.

Tertuduh yang memakai baju lokap SPRM ditahan semalam kira-kira jam 3 petang.

Pada Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan, lima individu termasuk jurutera dan dua penolong jurutera direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor berjumlah RM130,000 pada tahun 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Tuan Ahmad Faisal Azmi setelah mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu empat individu terbabit yang dibawa dari lokap SPRM Selangor di sini, tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 10 pagi.

SPRM Selangor pada Selasa menahan lima individu termasuk seorang jurutera, dua penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan serta dua pengurus syarikat kontraktor ketika hadir memberi keterangan, antara jam 1.30 hingga 5 petang.

Kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

Sementara itu, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,500 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.

Bagi kes ini pula, Mahkamah Majistret membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast