KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mengajak semua pihak menghentikan perseteruan politik dengan memberi sokongan kepada Perdana Menteri yang baharu memerangi pandemik Covid-19.
Pada masa sama, CUEPACS menzahirkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya yakin Ismail Sabri mampu meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan dalam memastikan negara berada di landasan yang lebih baik menguruskan pandemik Covid-19 dan memperbaiki ekonomi rakyat.
Kata beliau, selaku kesatuan yang memayungi kira-kira 1.6 juta penjawat awam, CUEPACS akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menggembeleng seluruh warga perkhidmatan awam untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Penjawat awam akan sentiasa bersama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk terus memajukan negara ke arah lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan berkesan serta berkualiti kepada rakyat dan negara.
“Walaupun kerajaan bersilih ganti, namun perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung Institusi Raja.
“CUEPACS dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Adnan, bagi memastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan, CUEPACS mengharapkan pertimbangan daripada Perdana Menteri yang baharu untuk menstrukturkan semula setiap kementerian supaya fungsinya lebih tersusun dan terkoordinasi.
Perkara itu, katanya, penting agar setiap kementerian dapat memberi fokus kepada visi dan misi masing-masing dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
Kata beliau, setiap lantikan Ketua Setiausaha Kementerian atau pegawai tertinggi perlu berdasarkan hirarki kelayakan dan kebolehan tanpa dipengaruh faktor politik atau calon kegemaran menteri.
“Perkara ini penting bagi memastikan jentera pentadbiran Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri dapat dibantu oleh pegawai kerajaan yang berkaliber, berintegriti dan berkebolehan, sekali gus memastikan keberhasilan program kerajaan.
“CUEPACS juga mengambil kesempatan ini sekali lagi ingin menekankan mengenai ikrar penjawat awam yang bersifat neutral dan tidak meletakkan kepentingan politik dalam setiap tindakan yang diambil.
“Tekad penjawat awam hanyalah berkhidmat untuk negara. Oleh yang demikian, kesetiaan kami hanyalah kepada raja, negara dan kerajaan semasa,” katanya.
Beliau menjelaskan, tidak kira apa pun yang berlaku dalam konteks perubahan pucuk kepimpinan kerajaan, tugas penjawat awam adalah memberikan perkhidmatan dan sokongan terbaik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan berada pada tahap cemerlang kepada rakyat khususnya.
Ujar Adnan, penjawat awam adalah jentera kerajaan yang hanya melaksanakan tugasan melalui dasar semasa kerajaan secara profesional bagi memastikan ianya dapat dicapai dengan sebaik mungkin.
Beliau berharap, mereka yang memimpin kerajaan sentiasa memahami akan ikatan itu agar penjawat awam tidak didakwa menyebelahi mana-mana pihak ketika sesebuah kerajaan itu diperintah oleh individu atau parti tertentu.
“Jika hal ini diterima dengan sikap terbuka dan profesional oleh kedua-dua pihak, kita akan dapat memastikan negara ini benar-benar telah menelusuri sistem demokrasi yang matang dan dapat memberi manfaat kepada semua pihak demi mewujudkan sebuah negara yang cemerlang pada masa hadapan.
“Adalah besar harapan CUEPACS untuk melihat pelantikan Ismail Sabri dapat menamatkan kemelut politik yang melanda negara sebelum ini supaya semua pihak termasuk pemimpin parti politik bersama dengan rakyat dan kerajaan memerangi pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette