KUALA LUMPUR – Penganjur terpaksa membatalkan tiga program Nadir Al Nuri menerusi siaran langsung di media sosial berikutan laporan polis sedang mencari aktivis kemanusiaan Malaysia di Gaza itu.
Perkara itu dikongsi Nadir atau nama sebenarnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi laman Telegram, hari ini.
“Minggu ini tiga live dibatalkan penganjur selepas kecoh saya dicari tak jumpa.
“Alhamdulillah, Allah bagi rehat melalui jalan yang tak disangka-sangka,” tulisnya dalam laman Telegram yang dikongsi 377,997 kawan.
Semalam, media melaporkan, polis memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice dan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas polis gagal mendapat maklum balas daripada kedua-duanya berhubung tarikh untuk merakam percakapan mereka.
Ashari berkata, dua individu itu perlu dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan polis berhubung laporan yang dibuat oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.
“Kita sudah ‘chat’ (berbual) dengan mereka, namun tidak dibalas, maka kita minta bantuan pihak Interpol untuk mengesan dan berhubung dengan mereka,” kata Ashari.
Sementara itu, Caprise atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33, menyatakan kesediaan dan keterbukaannya untuk memberi kerjasama pada bila-bila masa andainya dihubungi polis Malaysia atau Polis Antarabangsa berhubung siasatan ke atasnya.
Menerusi satu muat naik entri terbaharu dalam Instagram, aktivis kemanusiaan itu memaklumkan, kalau ada sesiapa yang mencarinya, dia boleh dihubungi menerusi talian telefon peribadi yang tertera dalam Instagramnya.
“Orang kata, ada pihak cari kita? Amman to Ramallah. Siapa-siapa tengah cari, polis ke, Interpol ke, mak mertua ke, Zizan untuk ‘keychain’ Firaun ke, boleh Whatsapp saya,” kata Ariza tau Caprise. – MalaysiaGazette