Peniaga menonton siaran langsung ucapan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui televisyen ketika di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui negara yang sebelum ini telah melalui dua fasa peralihan kerajaan dan dua perdana menteri dalam tempoh sepenggal merupakan landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Beliau berkata, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15), semua pihak harus bergerak ke hadapan.

“Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaiki, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.

“Ke bawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana,” katanya dalam ucapan pertama sebagai Perdana Menteri hari ini.

Dalam erti kata lain, jelas beliau, semua parti perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

Menurut Perdana Menteri, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,” katanya.

Terdahulu, menerusi PRU14 lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah dipilih rakyat menerusi proses demokrasi.

Dalam tempoh 22 bulan pentadbiran, PH dilanda kemelut politik dalaman apabila ada usaha untuk meminta Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Susulan itu, muncul Langkah Sheraton apabila beberapa Ahli Parlimen menyatakan sokongan dan seterusnya mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Namun, dalam tempoh 17 bulan pentadbiran Muhyiddin, beliau ditebak beberapa siri kegagalan yang disebut-sebut oleh pembangkang dan juga parti gabungan PN iaitu UMNO hingga 15 Ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Oleh kerana tidak mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin akhirnya meletak jawatan dan ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri disebut-sebut sebagai Perdana Menteri baharu apabila 114 Ahli Dewan Rakyat memberikan sokongan kepada beliau dan semalam proses mengangkat sumpah diadakan di Istana Negara. – MalaysiaGazette