Sebilangan besar Migran terdiri daripada warga asing Indonesia yang diseludup sindiket penyeludupan didalangi dua individu dipercayai tekong berjaya dilumpuhkan Imigresen di Johor kelmarin. Gambar Ihsan Imigresen Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran di Johor yang didalangi bekas penjawat awam dan seorang warga Indonesia menerusia operasi khas ‘Ops Seludup’ di Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada 20 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi itu, dua orang dalang disyaki tekong, seorang bekas penjawat awam lelaki berumur 33 tahun dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun ditahan.

“Seramai 18 orang migran warganegara Indonesia yang diseludup masuk tersebut turut ditahan menerusi pemeriksaan lanjut dalam kenderaan yang dipandu sindiket itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ops Seludup membabitkan sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambah Khairul Dzaimee, semasa operasi itu dilaksanakan, migran berkenaan sedang diangkut dengan menggunakan tiga buah kenderaan.

Bagaimanapun, jelas beliau, seorang pemandu berjaya melarikan diri daripada ditangkap penguatkuasa.

Menurut Khairul Dzaimee, pasukan yang menjalankan operasi itu telah mendapat maklumat mengenai sekumpulan migran yang diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat, Johor antara jam 3 hingga 5 pagi.

Ujarnya, bertindak atas maklumat risikan itu, pasukan operasi telah digerakkan ke lokasi dan berjaya memintas kenderaan-kenderaan suspek yang mengangkut dan membawa migran-migran tersebut.

“Selain tangkapan tekong dan migran, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan telah disita dengan nilai anggaran berjumlah RM130,000.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket ini dipercayai telah bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

“Modus operandi sindiket ialah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar Negeri Johor manakala tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran-migran yang baru mendarat sebelum diagihkan kepada majikan yang memerlukan khidmat mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, sindiket mengenakan caj kepada migran untuk diseludup masuk ke Malaysia antara RM800 hingga RM1,500 seorang.

Tambahnya, kesemua 18 orang migran yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu Pas yang sah.

“Manakala kedua-dua tekong tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran.

“Kesemua mereka kini sedang ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut Imigresen dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette