Keadaan pesakit Covid-19 yang dirawat petugas kesihatan ketika tinjauan eksklusif Malaysia Gazette di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa pesakit yang positif Covid-19 bagi kategori 3, 4, dan 5 didapati meningkat hari ini.

Dalam kenyataan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata,  pesakit bagi kategori tiga naik mendadak kepada 108 kes berbanding semalam hanya 68 kes.

Bagi kategori empat, kes naik sedikit kepada 190 kes berbanding 171 kes semalam, manakala pesakit kategori 5 juga meningkat dengan 138 kes berbanding 104 kes semalam.

“Daripada 17,672 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 436 kes (2.5 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Manakala sebanyak 17,236 kes (97.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19,” kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, sejumlah 14,337 kes daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Sejumlah 17,672 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini dengan 17,664 daripadanya adalah kes penularan tempatan dan 8 kes import.

Daripada jumlah itu, 15,299 kes melibatkan warganegara tempatan dan 2,365 kes bukan warganegara.

Sebanyak 1,040 kes memerlukan rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 502 kes menggunakan alat bantuan pernafasan.

Kes sembuh hari ini mengatasi kes baharu dengan 19,053 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah pada 1,297,723 kes.

Kes aktif pula dicatatkan pada 260,700 kes.

Tambah Noor Hisham, sejumlah 174 kes kematian direkodkan hari ini melihatkan 158 kes warganegara dan 16 bukan warganegara.

“Sebanyak 174 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 53 kes di Johor, 28 kes di Pulau Pinang, 25 kes di Sabah, 11 kes di Negeri Sembilan, masing-masing sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, dan Kelantan, masing-masing tujuh kes di Selangor dan Pahang, enam kes di Melaka, empat kes di Perak, serta masing-masing tiga kes di Sarawak dan Perlis,’ katanya lagi.

Kes kematian keseluruhan kini di paras 14,342 kes.

Jumlah kluster yang dikesan oleh KKM pula adalah sebanyak 30 kluster.

Ia melibatkan 18 kluster tempat kerja, 10 Kluster Komuniti, dan dua Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi.

Kluster Tempat Kerja (Industri Korporat Satu) yang dikesan di Selangor menjadi kluster kes terbanyak dengan 266 kes positif.

“Kluster ini dikenalpasti hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Korporat 1/KU9, Taman Perindustrian Meru, Klang,” kata Noor Hisham lagi. – MalaysiaGazette