Kakitangan wanita kedai emas terbaring di atas lantai selepas ditolak oleh suspek sebelum memecahkan bingkai galeri sebelum melarikan sejumlah barang kemas dalam kejadian samun di Metro Prima Kepong, semalam.Foto Ehsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas di Taman Usahawan, Kepong di sini disamun oleh empat individu lelaki semalam.

Keempat-empat suspek dipercayai bersenjatakan kapak dan tukul semasa melakukan rompakan, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 petang di Jalan Metro Perdana 8, Taman Usahawan Kepong.

Semasa kejadian, suspek dikatakan meluru memasuki premis dan telah melarikan sejumlah barang kemas.

“Rakaman CCTV milik premis itu menunjukkan tiga suspek berpakaian hitam dan bertopi keledar selain menutup muka dengan pelitup muka.

“Salah seroang daripada mereka menolak kuat salah seorang kakitangan wanita yang membuka pintu sehingga jatuh ke lantai sebelum memecahkan cermin galeri barang kemas menggunakan kapak dan tukul.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan sejumlah barang kemas yang diambil dengan dua motosikal bersama rakan sejenayah yang menunggu di luar.

“Tiada siapa tercedera dalam kejadian samun itu dan pemilik kedai iaitu seorang wanita yang premisnya disamun segera tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti suspek dan juga jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai emas itu.-MalaysiaGazette