Gambar hiasan

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyasarkan kutipan sebanyak RM1.5 juta menerusi lelongan kenderaan secara sebut harga membabitkan 46 kereta pelbagai jenama yang telah dilucut hak.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata dokumen sebut harga itu boleh dimuat turun secara percuma bermula 6 hingga 20 Sept di laman sesawang dan laman sosial Facebook JPJ Melaka.

Beliau berkata tawaran tersebut terbuka kepada individu yang berminat di seluruh negara dan mereka boleh menghantar dokumen sebut harga itu menerusi pos atau serahan di kaunter.

“Jualan kali ini diadakan secara norma baharu dan lawatan tapak dilakukan melalui dalam talian, terhad kepada 20 orang sehari dan ia berbeza dengan lelongan awam seperti tahun sebelum ini apabila pembida boleh hadir ke lokasi.

“Keseluruhan lelongan itu juga melibatkan kenderaan klon yang boleh dilesenkan semula seperti kereta jenis Mini Cooper, BMW, Subaru, Mitsubishi, Nissan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Bukit Katil di sini hari ini.

Muhammad Firdaus berkata dua harga kereta dengan bidaan tertinggi ditawarkan ialah jenis Subaru Impreza dan Mini Cooper iaitu RM10,000 manakala harga paling rendah ialah Toyota Corolla (RM965).

Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai memanfaatkan peluang tawaran pengurangan saman kompaun JPJ sebanyak 70 peratus sehingga 16 Sept depan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021.

“Pihak kita juga turut menyedia kaunter pandu lalu di Cawangan JPJ Melaka yang dibuka setiap hari kecuali cuti umum iaitu 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Jumaat manakala 9 pagi hingga 1 tengah hari pada Sabtu dan Ahad,” katanya.

— BERNAMA