KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu kerajaan dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Cadangan itu dikemukakan ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menurutnya, bagi merealisasikan #TuntutanRAKYAT berkaitan moratorium, i-Citra, tambahan nilai pakej bantuan rakyat yang ketika ini amat susah, gelisah dan tertekan.
Menurut beliau, negara ketika ini memerlukan seorang Menteri Kewangan dipilih dari kalangan yang biasa bergelumang dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.
“Saya mencadangkan agar dipertimbangkan cadangan untuk Perdana Menteri melantik Mohamad, ADUN Rantau sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu nanti.
“Setuju dengan pandangan ini?” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Untuk menterjemahkan cadangan itu, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat perlu terlebih dahulu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara iaitu senator bagi membolehkan beliau memegang jawatan itu.
UMNO terutama Pemuda sebelum ini lantang mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melaksanakan moratorium dan pengeluaran wang akaun satu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Namun, segala cadangan itu tidak ditunaikan oleh kerajaan pimpinan tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak turut campur tangan dalam desakan itu.
Keengganan Muhyiddin dan Jemaah Menteri PN memberi perhatian cadangan itu, termasuk kegagalan menangani pandemik Covid-19 antara faktor Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu jatuh dan meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette