KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia, Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth meninggal dunia di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), pagi ini.
Allahyarham yang berusia 93 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 pagi dan berita pemergiannya dimaklumkan bekas Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga anak saudaranya.
“Bapa saudara saya, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Seth telah pulang ke Rahmatullah. Perkhabaran yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga.
“Marilah kita sama-sama doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya bersama para hamba-Nya yang diredhai. Insya-Allah. Al-Fatihah,” katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.
Allahyarham bekas PAT ketujuh adalah Pengerusi Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE).
Beliau sebelum ini dimasukkan ke Hospital KPJ Damansara Specialist Centre sebelum dipindahkan ke CVSKL semalam.
Allahyarham memegang jawatan Pangliman Tentera Darat selama enam tahun, sebelum dinaikkan ke pangkat PAT pada 1982 hingga 1985.
Allahyarham berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette